Oleh Rosniza Md Taha
Buku atau naskhah akademik kini tidak lagi menjadi rujukan utama segelintir pelajar, sebaliknya kini ia beralih kepada internet untuk mendapatkan maklumat, data kajian, hasil penyelidikan bagi menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
Penggunaan internet yang jelas mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan pelajar kini dikatakan mencetuskan budaya ‘potong dan tampal’ hingga menjejaskan proses penyelidikan yang selama ini menjadi amalan universiti untuk terus maju.
Dalam pada itu, fenomena ciplak atau plagiarism turut mengancam budaya ilmu di universiti, sehingga ia kini dianggap ‘jenayah akademik’.
Pelajar tahun pertama Ijazah Kejuruteraan Elektrik Universiti Malaysia Pahang, Nur Siti Aishah Paing, 19, berkata alasan utama pelajar memplagiat adalah kerana kesuntukan masa, justeru hasil buah fikiran pelajar pandai dijadikan ‘rujukan’ mereka bagi menyiapkan tugasan.
“Sebenarnya bukan tiada masa, tetapi sikap ambil mudah terhadap tugasan akademik adalah isu sebenar yang membuatkan mereka sewenang-wenangnya menciplak hasil tugasan pelajar lain,”katanya.
Bagi pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Elektrik Seramik, Universiti Sains Malaysia, Muhammad Azwadi Sulaiman, 26, budaya plagiat merebak kerana pelajar tidak didedahkan kepada kemahiran mencari maklumat termasuk penjelasan bagaimana mengelak amalan plagiat.
Katanya, seharusnya pelajar diberi kemahiran menyelidik dan melatih minda menjadi objektif, kritis, dan analitikal dalam mencari fakta serta memanfaatkannya untuk menghasilkan inovasi.
“Pelajar tidak diberi pendedahan sewajarnya apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan plagiat. Jika petikan kajian terdahulu diambil dan daripadanya diubahsuai hingga terhasil inovasi berdasarkan pemikiran sendiri, ia adalah karya ilmiah pelajar, bukannya sekadar disalin semula bulat-bulat,”katanya.
Pelajar Sarjana Sains Universiti Teknologi MARA, Rassimi Abdul Ghani berpendapat kesedaran mengenai kesalahan amalan plagiat amat rendah di kalangan pelajar siswazah kerana mereka cenderung mencari kaedah mudah dan cepat bagi menyelesaikan tugasan.
“Kematangan pelajar ijazah pertama berbeza dan sesetengahnya masih cenderung mahu berseronok, justeru jalan singkat seperti ‘cut and paste’ dari internet atau menciplak hasil kerja orang lain menjadi amalan.
“Berbeza pelajar pascasiswazah yang kebanyakannya sudah ada kematangan dan kemahuan mengusahakan sendiri karya ilmiah menggunakan idea sendiri dan bertanggungjawab atas penulisan dihasilkan,”katanya.
Elsy Usun Francis, 24, yang mengikuti pengajian Sarjana Kejuruteraan BioPerubatan di Universiti Malaysia Perlis, bersetuju dengan pendapat itu kerana baginya pelajar perlu mempunyai etika dalam penyediaan kajian ilmiah.
Selain merujuk pelbagai sumber ilmu selain internet, katanya, pelajar perlu memanfaatkan sepenuhnya bimbingan penyelia yang kebanyakannya bertaraf profesor dan mempunyai pengalaman luas dalam penyelidikan.
“Seharusnya pelajar mencari suluhan atau petunjuk proses memula, mencari dan menyudahkan tugasan dengan merujuk kepada penyelia, bukan bergurukan internet semata-mata,”katanya.
Pelajar PhD Sains Komputer Univesiti Kebangsaan Malaysia, Ruhaizan Ismail, 27, berkata pilihan terletak kepada pelajar dan sikap masing-masing.
Jika pelajar berpendapat meniru tidak menjejas dan merugikan dirinya, malah menguntungkan, plagiat sudah tentu menjadi amalan sedangkan hakikatnya ia tidak meningkatkan tahap penguasaan ilmu pelajar terbabit,”katanya.
Sebaliknya, katanya, mahasiswa sejati mengamalkan sikap positif terhadap budaya ilmu iaitu mengayakan pengetahuan dan kemahiran dalam proses penghasilan karya ilmiah dan mendapat kepuasan menerusi karya terbaik dihasilkan,
Source:
Berita Harian – 13 Februari 2010
No comments:
Post a Comment